Wednesday, May 28, 2008

batu

Sahabat saya yang satu ini memang selalu menggegarkan ide lucunya. Wajahnya serius kalau tidak berbicara, bagai jauh merenung awan. Maklumlah dia memang tergolong manusia pintar mematah bicara lawan. Apa lagi kerjanya memang turun naik mahkamah. Membongkar rahsia lawan bicara, memastikan orang yang disokongnya menang, benang.Semua isu semasa disampaikan bagai cerita dongeng Pak Andeh, dengan Mak Andeh. Tetapi di kalangan pelukis, wahai, dia adalah kolektor yang dirindu, dia membeli dan mengumpul karya pelukis tanah air, apa yang baru...bukankah selepas 10 tahun harga karya itu terus naik, terus naik. Tapi pagi ini yang diceritanya ialah isu batu...mari kita kongsi cerita Pak Andeh bijak kita,husss, SMSnya pagi ini mencatankan isu batu: " Jangan bersedih atau berputih mata...kita hanya hilang BATU PUTIH, kita ada banyak batu lagi batu- BATU PAHAT, BATU GAJAH, BATU BURUK, Batu 3 Shah Alam,Batu 6 Gombak, Batu 9 Cheras, batu kikir dll. Malahan rizab batu kita masih banyak, seperti batu blok,batu bata, batu nesan, batu ladung, batu sempadan & batu belah batu bertangkup. Selain itu ramai yang ada batu api, batu karang, kepala batu, & hati batu...TAK KAN TAK BOLEH JAGA BATU MASING2!"

Wah, kalau sungguh banyak batu yang kita miliki...kenapa sibuk-sibuk berperang di medan antarabangsa hanya kerana seketul batu itu. Tapi ini soal maruah bong, inilah akibatnya kerana melalaikan sejarah dan titik warisan bangsa. Tambah seorang sahabat saya yang sudah kaya raya dengan jualan seni kayu, " Batu Putihku sudah menjadi berputih mata, pulau pisang dah pun menjadi pisang berbuah dua kali". Cuma adinda anakanda saja yang akan meneruskan dan merenung bidalan nenek moyang, atau lemparkan saja ke laut, ke awan, kerana kita kerap kehilangan batu tanda, atas alasan pembangunan meraih harta.

No comments: