Saturday, January 30, 2010

KASIH BONDA: Di Kamar Ibu

KASIH BONDA: Di Kamar Ibu

Di Kamar Ibu

kucari cadal sulaman ibu
ketemui pelikat biru abahku


Kisah itu masih di situ
setelah janji
kalau aku pergi jangan dicari!
Abah harus pergi
segetar angin
kelam makin hitam
Ibu menyimpan tanda
ya tanda masih di situ
Aku si tunggal
kembali menemukan
sarung malam akhir
bantal dan kelambu
kujahit robek kenangan
perpisahan takdir kehidupan
jalan tidak membelok kembali
pintu sudah patah ensel
tiada siapapun pulang
semua sudah berkumpul
di temuan yang pasti
di peti kasihku
Abah
Ibu
(37 tahun Abah pergi
8 tahun Ibu menyusul - tunggu aku, Abaah Ibu! Al Fatehah)
30 012010

Thursday, January 28, 2010

Si Manja - cucu sulung Ibu

1977...Detik gembira ibu , bersyukur dengan kelahiran cucu pertama. Pulau Pinang menyambut bayi lelaki, sehat, montok, berkulit bersih berseri. Terlalu sayanglah adikku, ibu ,nenek sang putera kecil, disebutlah sehatinya, " Manja sayang, Manja sayang nenek, Manja sayang mama, Manja sayang papa.....yalaa, Alhamdulilllah , jadi lelaki tepati janji Ilahi " . Sayup kedengaran suara ibu, walau diri juga sudah sarat hamil.....adikku Wati pula harus dirawat, oleh ketumbuhan dalam perut, lalu si bayi Manjapun diboyong pulang ke rumah nenek, ibuku di Gombak....

32 tahun berlalu sekarang, di depan kawan-kawan lelaki layang ini tersengeh bila di sebut Manja....teman-temannya menyebut Mat , nama lengkap Muhamad Nur Ilham bin Muhamad Ilham bin A.Samad Ahmad. Inilah salah seoorang cucu kepada allahyarham penulis dan budayawan Selangor. Penulis, penyalin manuskrip Melayu Lama, menyusun teks Sejarah Melayu. Tidak tahu pula, apakah Manja mempunyai buku-buku tulisan Almarhhum datuknya.

Tidak kami dengar lagi ceritamu. Ketawapun entah kemana kau seret langkahmu.Telah tiga muism tahun hari raya kita tidak kudengar suaramu. Kalau masih lalu di depan rumah ninda, singgahlah masih tersisa ruang, meja kerusi, barang-abrang mainan juga buku-buku yang disisih nenek untuk bacaaanmu. Kami menunggu kepulangan, anak saudaraku Si Manja yang sudah dewasa !


28012010

Saturday, January 9, 2010

Mahkota itu di Rumah Nuranimu



Wajah taman tanah air kita sudah cukup terbuka. Kita dapat mendiri rumah di tanah pilihan hanya kerana kuasa wang dan mampulah menakluki tanah yang diingini. Berdirilah rumah-rumah - banglow mewah di pinggir bukit, di tanah serong mengadap jurang di lembah, bersebelahan gunung batu - impian masing-masing, ya cukup selamat. Maka oleh kuasa wang, wang mengalir, wang digunakan untuk apa saja yang diingini. Termasuk menyediakan wang 'silap mata '. Sehingga tanah yang dilarang ' usik ' juga akhirnya mendapat surat izin - berdirilah rumah-rumah mewah dengan aneka rekabentuk. Termasuk bangunan berjejer tinggi di awan. Ada yang cenderung menyisip ciri warisan dengan bumbung perabung. Tidak aneh masih berterusan aneka bentuk seni bina apa saja yang diingini. Kerana lama di di UK, maka ditirulah bentuk Tudor (sebenarnya tidak banyak berbeza dengan perambung rumah Melayu - cuma diberi wrna putih, hitam an atap genting).

Gaya anjung Jepun juga disenangi, kerana anaknya belajar di Kyoto....begitu juga wajah taman Bali makin merebak sehingga lengkap dengan payung putih hitam berpetak terkembang yang sebenarnya melambang perayaaan Ngaben (upacara pembakaran mayat). Motif ular naga juga tidak asing lagi.

Di manakah lambang MAHKOTA HATI? Di kepala berhiasan emas? Maka dibentuklah lambang kesempuranaan kepala kerana di situlah tempat rumah akal. Akal di sebelah kanan, dan gelora emosi di sebelah kiri. Dalam adat dan adab budaya Melayu, kepala adalah ' hulu' di sana dengan hiasan ikat destar dan gendek mahkota bagi perempuan. Ini dipakai di waktu yang istimewa iaitu bila ditabal menjadi Raja Sehari.

Namun oleh kerana ingin menjadi 'raja di hati' maka bermunculanlah istilah kuasa yang dapat di bina.....kuasa kemewahan pun dibangunkan di rumah untuk dipakai sementara - berbayar ganda di Hotel Raja, berehat kerana darah tinggi juga di Hospital Raja, atau Rumah rehat Puter - Raja Muda. Kalau anda rajin mencatat...lihat, masuklah ke rumah-rumah raja itu....semua kini bebas bergelar raja, putera, puteri, apa saja....kerana kini semua sudah beraja di hati. Termasuk memakai busana raja sambil membuka pintu kereta di lobi Hotel Raja, membawa beg pelanggan ke meja kaunter!


Gombak
10012010

Rumah Kasih Bonda



SEMANGAT JANUARI 2010

Bukan senang untuk membetul gaya hidup berbolak balik antara rumah ibu di Gombak setelah merasa akan meninggalkan terus rumah di Bangi (1983-2009) . Jual rumah itu dan selesai. Kartika mengajak pindah dan melukis sepenuh masa di Jogya. Tanah sudah disediakan, tinggal bangun dan beli rumah. Hemm . Baiklah kucantikkan studio kerja di Bukit Kanching dan mulalah bertukang dan berkebun di Tanjung Karang. Tawaran jual rumah bermula. Mulalah karenah agen jualbeli rumah, sikap pembeli menawar termurah. Bila air, bil letrik, cukai tanah, cukai rumah cukup melelahkan. Rumah Bangi semakin sepi tidak dihuni....hingga Syabas memotong aliran air..eehhhh.

Tiba-tiba saja muncul saudaraku SAL yang begitu lama menghilang. Kenapa jual rumah? Susun cepat semula buku-buku dan lukisan di situ. Jadikan seperti dulu - rumah galerimu cantik (oh rupanya dia terus mengikut perkembangan rumah itu....melihat di majalah dan siaran seni di TV)

Ya Allah kuatkah diri untuk melengkap semula rumah yang sudah sepi, kembali mengisi kehidupan silam di situ.

Bukan kehidupdan silam, tapi kehidupan baru.

Semalam rumah yang sudah kosong, kembali dibersihkan lagi. Saudaraku itulah yang bersungguh 'ingin menghidupkan rumah seni' itu kembali. ...ya rumah Kasih Bonda akan kami lestrarikan. Insyaalllah. Rumah ini akan dijadikan Pusat Kajian Warisan Seni Budaya Bonda......

09012010

Sayang Adik

Kak jaga adik, nyamuk jangan gigit adik
Kak long dorong adik bawa jalan-jalan ke taman

UMUMNYA seorang kakak amat menyayangi adiknya. Sejak ibu mula hamil, dia sudah merasakan akan kedatangan adik yang bakal menjadi teman sehariannya. Pengalaman hamil kali kedua, bonda sudah merasakan kesibukan si kakak. Setiap pagi bertanya,

" Bonda bila adik datang? "
" Bila dah ada adik, Lor jadi kakak? "
" Ya kak kong kan ? Hore Lor jadi kak long, Lor ada adik? "
" Nak adik lelaki ke, perempuan? "
" Lor nak adik perempuan, boleh ajak main masak-masak"
" Nak jadi tukang masak ke?"
" Nak jadi cikgu? "

Benar sejak kelahiran adik, kak long selalu menjaga adiknya. Setelah adik dimandikan nenek, kak long ini membantu menjaga adik, ' Lor halau nyamuk , nyamuk jangan gigit adik"

Adikpun gembira diagah kak long, senyum, ketawa atau menangis terlolong
bila kak long sibuk tepuk adik hingga kuat, lupa adik nmasih kecil....

Adik mula tumbuh cantik. kak long tolong suap botol susu.
Selepas ada adik, baru kak long suka makan, kongsi dengan
adik makan bersama....adik terus ternganga, selalu lapar,
hingga mula tertarik berjalan hingga mula belajar bertutur,
selalu berita tahu kak long,

Ila lapaaaaaaa.....
nak matan , nak inum....

Kak long mula marah dengar suara adik

- Cakap betul- betul, jangan pelat..dengar kak long ajar,
Wira....wirrrra bukan ILA
makan...makkkaaan bukan MATAN
minum bukan ...INUM

Memang si adik ini lambat bertutur dengan baik.
Hingga berusia lima tahun masih menyebut namanya ILA ....

-ILa? macam nama budak perempuan heeee...
-Butan, ILA , ILA ILA tak sama dengan kak long

Si kecil Wira menunjuk bagian bawa seluarnya untuk membuktikan
dia punya sesuatu yang tidik sama dengan kakaknya.

Si adik menangis hingga tertidur. Si kak long terus bernyanyi, ....

Wira, wira adik lelaki kak long....

09012010