Friday, May 28, 2010

Kebun belakang rumah

KERAP kita sibuk menata halaman depan rumah. Tanah digembur, baja baru ditambah. Pohon harus cukup siraman....bunga berputik kita amat gembira menunggu kesidang berkembang menyimbah wangi. Dahan mawar bercabangpun kita dapat tahu jumlah helaian daun baru.

Minggu ini saya beralih selera. Menata ruang belakang untuk dijadikan ruang tambahan menulis. Bersebelahan dapur, dengan cermin kaca dibiar terbuka. Masyaallah helaian daun keladi sbubur menghijau. Pelepahnya dapat membesar dan tinggi menyentuh tembok jendela ...aduh kesian betul kau daun - yang cantik bagai lekuk hati sudah lama tidak kupeduli..... ya kini saya kembali melakar daun dan sulur baru daunan keladi....kau tumbuh segar walau tidak pernah ku siram, kau tetap subur, subur indah sepenuh hati.
Kau amat berjasa hingga dipilih menjadi citra dalam bidalan waris moyang Melayu:

1) Terima kasih daun keladi
2) Menjirus air di daun keladi
3) Tua-tua keladi @ daun keladi dimandikan
4) Diam-diam ubi (keladi)

Banyak lagi yang membuat kami menyanyimu cik keladi !! Dengan aneka jenismu:
talas , keladi bunting, keladi birah, keladi sirah, keladi batik, keladi telur, keladi udang, keladi cantik, keladi harimau, keladi ular, keladi cadi, keladi babi, keladi cina, dan lebih 20 jenis keladi tumbuh di bumi Melayu kami, oh Tanah Melayu @ Malaya
*****
Gombak
28 Mei 2010

Friday, May 21, 2010

Seni Hias Tekstil

Seni tekstil sebahagian daripada bahan keperluan untuk hiasan diri dan persekitaran. Bagaimana pula anda menghias persekitan ruang dalam rumah atau interior? Saya tidak terikat untuk menghias pintu tingkap dengan bahan tebal melapisi kain nipis di jendela. Tentu saja fungsinya sebagai melindung cahaya atau tidak terlihat bayang dalaman. Dengan bahan sederhana, saya lebih melihat fungsi gunaan disamping tekstil warisan - folk art yang sempat dipungut dan disimpan sejak lama. Selendang panjang yang kerap dipakai untuk melilit kepala, leher dan dada, merupakan peralatan harian. Untuk pakaian seminggu, masih boleh dipakai bertukar ganti. Dengan ditempatkan di ruang yang mudah dicapai, di kisi-kisi tangga, nah, sudah menjadi seni hiasan rumah juga bukan ?

Seni tekstil warisan boleh digantung untuk menjadi tabir disamping mudah digunakan terutama untuk kajian etnografi semasa. Boleh ditukar ganti tanpa merosakkannya dengan kesan lipatan. Cuma elakkan dari panahan cahaya terang matahari dari luar jendela. Biasanya kain tenunan dengan pewasrna celupan akan dapat diuji bahan asalnya. kalau cepat luntur dan berubah, ayuh cepat alih dan simpan.
Selamat menghias dengan bahan tekstil warisan di rumah kesangan kita. Insyaallah
******
Gombak
21052010