Tuesday, September 6, 2011

KU BUKA PINTU - AIDILFITRI 1432


Ku Buka Pintu
KERAP  kita buka pintu
membebaskan angin kasih menyerbu
menghirup bau seroja
keladi meliuk bersapa
eh tamu dari mana?
Dikau tiba dengan senyum sejoli
bersambut riuh si jambul  di pintu.

Ini bukan  impian
helaian buku mencatat sejarah
tarikh kelahiran
besar ke sekolah
lulus ujian terpilih
bercinta entah ke berapa
berkahwin rasmi
berkasih menyatu rahsia
hingga di panggil Ilahi
semua menerpa mendapat jawabannya.

Jangan terpana adikku
merah  putih emas
jalinan  kain dan perunggu 
kadang meruap panas
melembut basah
minumlah selasih huluranku
teguk nikmat luka
bergaul dalam kaca kristal
berdenting disentuh angin
kau menjamahnya
syukurlah
tidak ada rahsia
 di balik pintu.


Kokelsi Surat dari Awan - 3
9 Syawal 1432
6 September 2011

Wednesday, August 24, 2011

Surat Dari Awan (2)
















Surat dari Awan - 2

Kita genggam awan bersama
kapal melambung, laut di bawah sana
di situkah peta sejarah
yang akan dibelah
kita memacu cita anak muda
amat pedih menunggu zaman merdeka
negari yang tidak pernah alah
oleh mata siasat
kalau cut bang dihumban ke penjara
di lempar ke hutan Palembang
aku masih ada di situ
mengutip surat rahsia awan
melakar cinta wasiat leluhur
di Seulawah
kita tidak pernah mengalah.

Hanya musim memetik tuaian
padiku tinggal hama
emasnya kau bawa menghiasi tahta
sesekali menggenggam cuak
atas nama kemanusiaan
cinta batini harus kau suak.

Hanya aku menggenggam
surat dari awan
tetesan resahmu di meja rawan.

Aku harus pergi
kala pintumu
sudah dikerumi
kasih warna warni
aku biola putus tali

24 Ramadhan 143/24 Ogos 2011



Wednesday, August 3, 2011

MANA JALAN MELAYU

KADANG memang dapat dirasakan, apa saja yang berberkaitan dengan warisanmu, seakan lenyap. Jalan Melayu (dalam zaman sebelum merdeka di sebut MALAY STREET) begitu penting, berdenyut sebagai tempat lalu lalang, bersebelahan Sungai Ampang, sejejer sebelahnya dengan Jalan Melaka (Malacca Street), perhentian bas Len Seng. Di Jalan Melayu inilah urat nadi peniaga Melayu membuka kedai jahit, sulam, menyulam, buatan songkok, capal. Hingga tahun 1960an dipenuhi peniaga Minang: Pak Yassin , PakAgus Salim memang terkenal dengan jahitan sulam kebaya, dengan pelajar perempuan yang menjahit. Warong makan Minang juga terkenal di situ dan peniaga India dengan menjual bunga Melor, termasuk kedai gunting rambut jalanan. Ke utara simpang Melayu, disambut dengan Jalan Bunus. Juga dipenuhi kedai makan termasuk kedai buku yang membawa masuk buku-buku dari Indonesia. Yang paling terkenal ialah kedai buku Pak Sabirin (ayah penyair Anis Sabiri).






DI SIMPANG antara Jalan Melayu dan tembusanya ke Jalan Bunus, inilah berdiri Masjid India yang dipenuhi oleh peniaga India Melayu yang berjualan di situ. Peniaga India berniaga anika kain, benang. Di hujung Jalan Melayu ini beremtebusan pula dengan Batu Road sekarang lebih dikenali sebagai Jalan Tunku Abdul Rahman. Hingga tahun 197an Jalan Melayu masih menerus



kan sistim niaga tepi jalan, di celah-celah bangunan bank, tanpa karenah. Tetapi 198oan akhir tiba-tiba Jalan Melayu yang juga didatangi pelukis jalanan, sudah disepikan. Kedai jualan ditutup,dibangunkan dengan sistem kononnya lebih teratur.Sejak itulah muncul nama Jalan Masjid India yang 'merampas' citra JALAN MELAYU. Anak muda KL sendiri sudah lupa dengan nama ini. Mereka lebih kenal stesen Pasar Seni yang tegak perkasa di depan kepala Jalan Melayu.






JALAN Masjid India sudah diraikan besar-besaran oleh DBKL setaraf dengan India Kecil yang dirasmikan oleh presiden negara itu sendiri...siapakah berbelanja, di sini kalau bukan wajah Melayu yang sudah melupakan JALAN MELAYU???

****



(Mana pula Kampung Rawa, Jalan Semarang, Kg Kerinchi? yang pernah bertapak di hati anak Kuala Lumpur JATI)



Bandar Baru Bangi, 3 Ogos 2011




Wednesday, June 15, 2011

Bunga Kembang Tiga Bulan

Seperti tahu usianya, segar berkelopakdan menyimpan air musiman, jangan kau cemburu ya dahlia. Pagi ini dalam rinai gerimis di perbukitan, kutemui kau bertunjung rimbun, seperti zaman masa lalu ku betapa amat sayangnya ibu, menjagamu, sejak menyemai benih, sejak daun baru bertunas, berpucuk hingga kau muncul tiba-tibu penuh sepasu berjejer di pinggiran kolam. Kudengar suara gembira ibu, " haaa akhirnya kau muncul juga ya si kembang tiga bulan!"

Sekarang, di detik zaman milinium ini aku, berdiri dalam rinai menggerimis, selendangku basah, tapi aku senang kebasahan menatapmu. Sebentar lagi seseorang akan tiba, perlukah aku petik kelopakmu, buat dia yang akan sampai setelah lebih 25 tahun kami berpisah dulu? Indra..? Betulkah kau, orang sama menemani kerja masa laluku di tapak makam Raja Alam itu ?

***
(Nota Ranah Minang - Air Angek)

Tuesday, April 19, 2011

Bulang Ulu Kesesuaian Perjalanan

Di Bukit Zaitun, Al Quds, 9 Mac 2011


Pada 9 Mac 2011 - Cuaca dingin begitu terasa sepanjang perjalanan di Bukit Zaitun. Nun di lembah sana sudah kelihatan Qubah Shokroh, kubah batu yang asalnya didirikan oleh Khalifah Umar bin Khattab. Mungkin juga dari sinilah pahlawan ini melihat kedamaian di Kota Suci hingga di sebut sebagai Al Quds. Selendang panjang kulilit ke kepala, sekeleling leher dan bahagian hujung jatuh di depan. Cukup buat melindungai tubuh di petang berhujan gerimis di Bukit Kasih sayang ini.


Di air panas Lembah Musa, Petra- Jordan, 9 Mac 2011

8 Mac 2011 - Cuaca di Petra - Jordan sudah bercahaya matahari. Saya hanya menggunakan selendang panjang, menutup lilitan kepala hitam. Kerana badan sudah dilindungan jubah bulu, baju leher cekak leher, maka selendamg di biar saja melambai ke depan.



Di Gombak, 6 Mac 2011

6 Mac 2011 - Sebelum berangkat , mencari kaca mata untuk lindungan cahaya matahari. Tanah tropika yang hangat, panas dan cepat melelehkan keringat, saya hanya melilit kerudung sekitar kepala. Tidak memakai selendang tambahan, kerana ini sesuai gaya santai ketika mencari barang keperluang sebelum berangkat esok > KL- Bahrin - Amman- Bait Al Maqdes , 7-9 Mac 2011).


***

Nilam Srayu, 19 April 2011

Monday, April 18, 2011

Sahabat bergaya kerudung Siti




Ardha pelukis pelajar ASRI lulus Seni Rupa ITB

Terpikat dengan gayaku sorbanku, dia bersungguhlah bergaya


Alhamdulliah kami, berjumpa lagi setelah terakhir bersama di Toyabungkah,
Bali dalam rangka ASEAN Young Writers Conference di Sanggar
Sutan Takdir Alisjabana tahun 1985. 3 tahun lalu Ardha muncul
setelah berhasil mencari adress dan telefonku melalui internet. Sekarang
lebih mudah melalu FB. Februari lalu Ardha muncul lagi.
Kali ini dia bersungguh untuj menutup rambut dengan gaya lilitan
selendang di kepala.

*
Ha sekarang kami sama walau tidak serupa.
Selamat bergaya sorban ya Ardha


****
Nilam Srayu
19 April 2011








Sunday, October 3, 2010

Jam kerja dan istirahatmu


KALI ini sudah tiba waktu mengatur tempoh kerja dan tidur. Sejak Ramadhan waktu
bertukar tempo...berjaga sejak dinihari hingga Imsak, bersambung menunggu subuh. Kini kembali hariMu. Mengikuti hikmah bertukar cahaya bulan - mentari.


Oh Terangkanlah kepada ku
jika Allah menjadikan malam ,
gelap gelita, bercahaya juga tibanya nyala bulan
dan bintang bertebaran
oh siang datang dengan gemilang mentari
kadang hangat tiba-tiba berganti dingin hujan
kenapa mengeluh juga tidak lena tidur
oleh mimpi ngeri
* * *
Dengarkan dengan perlahan
zikir angin
selalu berbisik
oleh pesanMu
apakah kamu tidak mendengar?
* * *
3 Oktober 2010