Showing posts with label Nota harian. Show all posts
Showing posts with label Nota harian. Show all posts

Friday, October 14, 2011

Al Fatihah

Ke Jalan Bayam, Rumah no 48000

Kota Bharu kuredah lagi. Kami berangkat dengan perasaan kenangan yang sukar dicatat nikmat rindu masa lalu. Naik Keretapi Ekspress Wau ekspress malam - apakah yang cari? Masa lalu dengan kenderaan keretapi asap dari batu arang. Cepatnya harian dan waktu. Alhamdulillah, kaupun datang lagi mencari stesen Palekbang. Tapi itulah cerita Hesmel, 40 % stesen keretapi sudah dibongkar dinding dan atap genting lama - sudah berganti tiang dan tembok batu. Stesen Palekban? Keretapi tidak berhenti di situ. Kau boleh di Wakaf Baru atau terus ke stesen akhir di Tumpat.

Ya jeti dan feri tidak ada lagi. Tapi kau harus terburu-buru ke Jalan Bayam. Siapakah yang cari. Al Fatihah, sungguh rindu mencengkam. Kau susuri rimbun lalang, mencari rumah abadi gurunya Seniman Negara. Ya Allah, puterinya Shikin juga terkial-kial menguis lalang mencari pusara Bunda yang sudah sudah dirimbuni lalang. Ya, yang pergi tetap pergi aku terlonta dalam panas siang, hanya doa hanya Al Fatihah semoga  dikau damai di rumah Abadi dicucui RahmatNya. Amin.

Wednesday, August 3, 2011

MANA JALAN MELAYU

KADANG memang dapat dirasakan, apa saja yang berberkaitan dengan warisanmu, seakan lenyap. Jalan Melayu (dalam zaman sebelum merdeka di sebut MALAY STREET) begitu penting, berdenyut sebagai tempat lalu lalang, bersebelahan Sungai Ampang, sejejer sebelahnya dengan Jalan Melaka (Malacca Street), perhentian bas Len Seng. Di Jalan Melayu inilah urat nadi peniaga Melayu membuka kedai jahit, sulam, menyulam, buatan songkok, capal. Hingga tahun 1960an dipenuhi peniaga Minang: Pak Yassin , PakAgus Salim memang terkenal dengan jahitan sulam kebaya, dengan pelajar perempuan yang menjahit. Warong makan Minang juga terkenal di situ dan peniaga India dengan menjual bunga Melor, termasuk kedai gunting rambut jalanan. Ke utara simpang Melayu, disambut dengan Jalan Bunus. Juga dipenuhi kedai makan termasuk kedai buku yang membawa masuk buku-buku dari Indonesia. Yang paling terkenal ialah kedai buku Pak Sabirin (ayah penyair Anis Sabiri).






DI SIMPANG antara Jalan Melayu dan tembusanya ke Jalan Bunus, inilah berdiri Masjid India yang dipenuhi oleh peniaga India Melayu yang berjualan di situ. Peniaga India berniaga anika kain, benang. Di hujung Jalan Melayu ini beremtebusan pula dengan Batu Road sekarang lebih dikenali sebagai Jalan Tunku Abdul Rahman. Hingga tahun 197an Jalan Melayu masih menerus



kan sistim niaga tepi jalan, di celah-celah bangunan bank, tanpa karenah. Tetapi 198oan akhir tiba-tiba Jalan Melayu yang juga didatangi pelukis jalanan, sudah disepikan. Kedai jualan ditutup,dibangunkan dengan sistem kononnya lebih teratur.Sejak itulah muncul nama Jalan Masjid India yang 'merampas' citra JALAN MELAYU. Anak muda KL sendiri sudah lupa dengan nama ini. Mereka lebih kenal stesen Pasar Seni yang tegak perkasa di depan kepala Jalan Melayu.






JALAN Masjid India sudah diraikan besar-besaran oleh DBKL setaraf dengan India Kecil yang dirasmikan oleh presiden negara itu sendiri...siapakah berbelanja, di sini kalau bukan wajah Melayu yang sudah melupakan JALAN MELAYU???

****



(Mana pula Kampung Rawa, Jalan Semarang, Kg Kerinchi? yang pernah bertapak di hati anak Kuala Lumpur JATI)



Bandar Baru Bangi, 3 Ogos 2011




Wednesday, June 15, 2011

Bunga Kembang Tiga Bulan

Seperti tahu usianya, segar berkelopakdan menyimpan air musiman, jangan kau cemburu ya dahlia. Pagi ini dalam rinai gerimis di perbukitan, kutemui kau bertunjung rimbun, seperti zaman masa lalu ku betapa amat sayangnya ibu, menjagamu, sejak menyemai benih, sejak daun baru bertunas, berpucuk hingga kau muncul tiba-tibu penuh sepasu berjejer di pinggiran kolam. Kudengar suara gembira ibu, " haaa akhirnya kau muncul juga ya si kembang tiga bulan!"

Sekarang, di detik zaman milinium ini aku, berdiri dalam rinai menggerimis, selendangku basah, tapi aku senang kebasahan menatapmu. Sebentar lagi seseorang akan tiba, perlukah aku petik kelopakmu, buat dia yang akan sampai setelah lebih 25 tahun kami berpisah dulu? Indra..? Betulkah kau, orang sama menemani kerja masa laluku di tapak makam Raja Alam itu ?

***
(Nota Ranah Minang - Air Angek)

Tuesday, April 19, 2011

Bulang Ulu Kesesuaian Perjalanan

Di Bukit Zaitun, Al Quds, 9 Mac 2011


Pada 9 Mac 2011 - Cuaca dingin begitu terasa sepanjang perjalanan di Bukit Zaitun. Nun di lembah sana sudah kelihatan Qubah Shokroh, kubah batu yang asalnya didirikan oleh Khalifah Umar bin Khattab. Mungkin juga dari sinilah pahlawan ini melihat kedamaian di Kota Suci hingga di sebut sebagai Al Quds. Selendang panjang kulilit ke kepala, sekeleling leher dan bahagian hujung jatuh di depan. Cukup buat melindungai tubuh di petang berhujan gerimis di Bukit Kasih sayang ini.


Di air panas Lembah Musa, Petra- Jordan, 9 Mac 2011

8 Mac 2011 - Cuaca di Petra - Jordan sudah bercahaya matahari. Saya hanya menggunakan selendang panjang, menutup lilitan kepala hitam. Kerana badan sudah dilindungan jubah bulu, baju leher cekak leher, maka selendamg di biar saja melambai ke depan.



Di Gombak, 6 Mac 2011

6 Mac 2011 - Sebelum berangkat , mencari kaca mata untuk lindungan cahaya matahari. Tanah tropika yang hangat, panas dan cepat melelehkan keringat, saya hanya melilit kerudung sekitar kepala. Tidak memakai selendang tambahan, kerana ini sesuai gaya santai ketika mencari barang keperluang sebelum berangkat esok > KL- Bahrin - Amman- Bait Al Maqdes , 7-9 Mac 2011).


***

Nilam Srayu, 19 April 2011

Monday, April 18, 2011

Sahabat bergaya kerudung Siti




Ardha pelukis pelajar ASRI lulus Seni Rupa ITB

Terpikat dengan gayaku sorbanku, dia bersungguhlah bergaya


Alhamdulliah kami, berjumpa lagi setelah terakhir bersama di Toyabungkah,
Bali dalam rangka ASEAN Young Writers Conference di Sanggar
Sutan Takdir Alisjabana tahun 1985. 3 tahun lalu Ardha muncul
setelah berhasil mencari adress dan telefonku melalui internet. Sekarang
lebih mudah melalu FB. Februari lalu Ardha muncul lagi.
Kali ini dia bersungguh untuj menutup rambut dengan gaya lilitan
selendang di kepala.

*
Ha sekarang kami sama walau tidak serupa.
Selamat bergaya sorban ya Ardha


****
Nilam Srayu
19 April 2011








Sunday, October 3, 2010

Jam kerja dan istirahatmu


KALI ini sudah tiba waktu mengatur tempoh kerja dan tidur. Sejak Ramadhan waktu
bertukar tempo...berjaga sejak dinihari hingga Imsak, bersambung menunggu subuh. Kini kembali hariMu. Mengikuti hikmah bertukar cahaya bulan - mentari.


Oh Terangkanlah kepada ku
jika Allah menjadikan malam ,
gelap gelita, bercahaya juga tibanya nyala bulan
dan bintang bertebaran
oh siang datang dengan gemilang mentari
kadang hangat tiba-tiba berganti dingin hujan
kenapa mengeluh juga tidak lena tidur
oleh mimpi ngeri
* * *
Dengarkan dengan perlahan
zikir angin
selalu berbisik
oleh pesanMu
apakah kamu tidak mendengar?
* * *
3 Oktober 2010

Monday, June 28, 2010

Rumah Sementara Dalam Kembara Budaya


UNDANGAN dari Balai Bahasa Palembang (BBP) tiba (masuk) hanya lewat FB. Aku bersetuju kerana akhir bulan Mei acara pelancaran PADAT Selangor sudah selesai. Catat kepala BBP lagi, " kami cuma menyediakan penginapan, makan dan sedikit acara perjalanan selama di Palembang. "
Aku setuju kerana telah lama tidak singgah ke kota Seriwijaya ini. Ada ingatan jauh perjalanan pada tahun 1988 kembali menghimbau. Kerja mengutip data untuk kajian Ph.D memang kerap dalam ingatan. Kerjasama Kepala Muzium Sumatera Selatan, kawan-kawan yang membawa ke kampung songket, ke Bukit Seguntang, pelayaran ke Sungai Musi...sudah dicatat dalam beberapa buah puisi dan esei kembara.

2 Jun aku sudah masuk ke rumah penginapan sementara Sandjaya, nombor 6103. Segera menata ruang, menyusun buku, kertas kerja, pakaian baju, kasut. Dan tersedak juga entah rumah ke berapa ku masuki sejak lampau .





Lebih 30 tahun lalu, rumah sementara beginilah kerap memberiku tenaga untuk meneruskan kerja. Otak terlayang-layang, masih adakah ibu Ipah yang memberi banyak data tentang songket limar, songket benang jantung. Masih adakah waris kesultaan Palembang yang sahih.






Kugantung selendang di dalam almari. Kususun sandal dan sepatu jalan sepatu kerja , kasut getah...di tepi pintu. Aku harus siap ke bawah , ke ruang seminar, mendaftar, mendapatkan jadual pembentangan kertas kerja...mengepit juga buku nota, buku sketsa.
Di lobi sudah menunggu panitia membawaku ku ruang seminar....melihat wajah yang mungkin kukenali...belum ada yang menyapa, sehingga muncul Dian, " Oooh Selamat datang ya Bu....silakan minum dulu, kudapannya empek-empek Palembang. Ya empek-empek "
Ya empek-empek Palembang sejenis penganan diperbuat dari tepung ikan diuli bentuk dengan berbagai rupa, bulat, leper, gebu dan ditambah pencicahnya air asam manis pedas. Dengan secawan kopi, rinduku ke Palembang sejak 23 tahun lalu terungkai. Cuma terlayang juga mana kau sahabat yang menemani kerja penyelidikan ke muzium, ke Bukit Seguntang, ke Sungai Musi? Oooh ada yang sudah menjadi ahli politik.
" Untuk menemuinya penuh protokol bu "
Haaaa, aku bukan orang politik ya padamkan nama sahabat itu . Ku pujuk hati dan terkenang pesan dari Kepala BBP,
" Ada sabahat anda pelukis seangkatanmu di ASRI sudah saya beritahu kedatanganmu"
*******
Sanggar Nilam
28 Jun 2010

Friday, May 28, 2010

Kebun belakang rumah

KERAP kita sibuk menata halaman depan rumah. Tanah digembur, baja baru ditambah. Pohon harus cukup siraman....bunga berputik kita amat gembira menunggu kesidang berkembang menyimbah wangi. Dahan mawar bercabangpun kita dapat tahu jumlah helaian daun baru.

Minggu ini saya beralih selera. Menata ruang belakang untuk dijadikan ruang tambahan menulis. Bersebelahan dapur, dengan cermin kaca dibiar terbuka. Masyaallah helaian daun keladi sbubur menghijau. Pelepahnya dapat membesar dan tinggi menyentuh tembok jendela ...aduh kesian betul kau daun - yang cantik bagai lekuk hati sudah lama tidak kupeduli..... ya kini saya kembali melakar daun dan sulur baru daunan keladi....kau tumbuh segar walau tidak pernah ku siram, kau tetap subur, subur indah sepenuh hati.
Kau amat berjasa hingga dipilih menjadi citra dalam bidalan waris moyang Melayu:

1) Terima kasih daun keladi
2) Menjirus air di daun keladi
3) Tua-tua keladi @ daun keladi dimandikan
4) Diam-diam ubi (keladi)

Banyak lagi yang membuat kami menyanyimu cik keladi !! Dengan aneka jenismu:
talas , keladi bunting, keladi birah, keladi sirah, keladi batik, keladi telur, keladi udang, keladi cantik, keladi harimau, keladi ular, keladi cadi, keladi babi, keladi cina, dan lebih 20 jenis keladi tumbuh di bumi Melayu kami, oh Tanah Melayu @ Malaya
*****
Gombak
28 Mei 2010

Wednesday, February 17, 2010

Rumah Kasih Bonda

RUMAH lama ini kita baiki lagi. akan kita duduki.
di situ dulu semua karya bertumpuk, lukisan dan fail penulisan.
Hampir 5 tahun, kau ditinggal sepi,
kurendang semula pohon kemboja, pinang merah
berbuahlah dengan meriah

Junjungan kayu sendeng kita tegakkan lagi,
tembok anjung ayuh tolong dirapi kembali!
Herman menyimin tembok
tembok takkan kita simin rapi
cukup lekuk abadi.


*****

(10 Februari mulakan wajahmu di sini)
17022010

Thursday, January 28, 2010

Si Manja - cucu sulung Ibu

1977...Detik gembira ibu , bersyukur dengan kelahiran cucu pertama. Pulau Pinang menyambut bayi lelaki, sehat, montok, berkulit bersih berseri. Terlalu sayanglah adikku, ibu ,nenek sang putera kecil, disebutlah sehatinya, " Manja sayang, Manja sayang nenek, Manja sayang mama, Manja sayang papa.....yalaa, Alhamdulilllah , jadi lelaki tepati janji Ilahi " . Sayup kedengaran suara ibu, walau diri juga sudah sarat hamil.....adikku Wati pula harus dirawat, oleh ketumbuhan dalam perut, lalu si bayi Manjapun diboyong pulang ke rumah nenek, ibuku di Gombak....

32 tahun berlalu sekarang, di depan kawan-kawan lelaki layang ini tersengeh bila di sebut Manja....teman-temannya menyebut Mat , nama lengkap Muhamad Nur Ilham bin Muhamad Ilham bin A.Samad Ahmad. Inilah salah seoorang cucu kepada allahyarham penulis dan budayawan Selangor. Penulis, penyalin manuskrip Melayu Lama, menyusun teks Sejarah Melayu. Tidak tahu pula, apakah Manja mempunyai buku-buku tulisan Almarhhum datuknya.

Tidak kami dengar lagi ceritamu. Ketawapun entah kemana kau seret langkahmu.Telah tiga muism tahun hari raya kita tidak kudengar suaramu. Kalau masih lalu di depan rumah ninda, singgahlah masih tersisa ruang, meja kerusi, barang-abrang mainan juga buku-buku yang disisih nenek untuk bacaaanmu. Kami menunggu kepulangan, anak saudaraku Si Manja yang sudah dewasa !


28012010

Saturday, January 9, 2010

Mahkota itu di Rumah Nuranimu



Wajah taman tanah air kita sudah cukup terbuka. Kita dapat mendiri rumah di tanah pilihan hanya kerana kuasa wang dan mampulah menakluki tanah yang diingini. Berdirilah rumah-rumah - banglow mewah di pinggir bukit, di tanah serong mengadap jurang di lembah, bersebelahan gunung batu - impian masing-masing, ya cukup selamat. Maka oleh kuasa wang, wang mengalir, wang digunakan untuk apa saja yang diingini. Termasuk menyediakan wang 'silap mata '. Sehingga tanah yang dilarang ' usik ' juga akhirnya mendapat surat izin - berdirilah rumah-rumah mewah dengan aneka rekabentuk. Termasuk bangunan berjejer tinggi di awan. Ada yang cenderung menyisip ciri warisan dengan bumbung perabung. Tidak aneh masih berterusan aneka bentuk seni bina apa saja yang diingini. Kerana lama di di UK, maka ditirulah bentuk Tudor (sebenarnya tidak banyak berbeza dengan perambung rumah Melayu - cuma diberi wrna putih, hitam an atap genting).

Gaya anjung Jepun juga disenangi, kerana anaknya belajar di Kyoto....begitu juga wajah taman Bali makin merebak sehingga lengkap dengan payung putih hitam berpetak terkembang yang sebenarnya melambang perayaaan Ngaben (upacara pembakaran mayat). Motif ular naga juga tidak asing lagi.

Di manakah lambang MAHKOTA HATI? Di kepala berhiasan emas? Maka dibentuklah lambang kesempuranaan kepala kerana di situlah tempat rumah akal. Akal di sebelah kanan, dan gelora emosi di sebelah kiri. Dalam adat dan adab budaya Melayu, kepala adalah ' hulu' di sana dengan hiasan ikat destar dan gendek mahkota bagi perempuan. Ini dipakai di waktu yang istimewa iaitu bila ditabal menjadi Raja Sehari.

Namun oleh kerana ingin menjadi 'raja di hati' maka bermunculanlah istilah kuasa yang dapat di bina.....kuasa kemewahan pun dibangunkan di rumah untuk dipakai sementara - berbayar ganda di Hotel Raja, berehat kerana darah tinggi juga di Hospital Raja, atau Rumah rehat Puter - Raja Muda. Kalau anda rajin mencatat...lihat, masuklah ke rumah-rumah raja itu....semua kini bebas bergelar raja, putera, puteri, apa saja....kerana kini semua sudah beraja di hati. Termasuk memakai busana raja sambil membuka pintu kereta di lobi Hotel Raja, membawa beg pelanggan ke meja kaunter!


Gombak
10012010

Rumah Kasih Bonda



SEMANGAT JANUARI 2010

Bukan senang untuk membetul gaya hidup berbolak balik antara rumah ibu di Gombak setelah merasa akan meninggalkan terus rumah di Bangi (1983-2009) . Jual rumah itu dan selesai. Kartika mengajak pindah dan melukis sepenuh masa di Jogya. Tanah sudah disediakan, tinggal bangun dan beli rumah. Hemm . Baiklah kucantikkan studio kerja di Bukit Kanching dan mulalah bertukang dan berkebun di Tanjung Karang. Tawaran jual rumah bermula. Mulalah karenah agen jualbeli rumah, sikap pembeli menawar termurah. Bila air, bil letrik, cukai tanah, cukai rumah cukup melelahkan. Rumah Bangi semakin sepi tidak dihuni....hingga Syabas memotong aliran air..eehhhh.

Tiba-tiba saja muncul saudaraku SAL yang begitu lama menghilang. Kenapa jual rumah? Susun cepat semula buku-buku dan lukisan di situ. Jadikan seperti dulu - rumah galerimu cantik (oh rupanya dia terus mengikut perkembangan rumah itu....melihat di majalah dan siaran seni di TV)

Ya Allah kuatkah diri untuk melengkap semula rumah yang sudah sepi, kembali mengisi kehidupan silam di situ.

Bukan kehidupdan silam, tapi kehidupan baru.

Semalam rumah yang sudah kosong, kembali dibersihkan lagi. Saudaraku itulah yang bersungguh 'ingin menghidupkan rumah seni' itu kembali. ...ya rumah Kasih Bonda akan kami lestrarikan. Insyaalllah. Rumah ini akan dijadikan Pusat Kajian Warisan Seni Budaya Bonda......

09012010

Sayang Adik

Kak jaga adik, nyamuk jangan gigit adik
Kak long dorong adik bawa jalan-jalan ke taman

UMUMNYA seorang kakak amat menyayangi adiknya. Sejak ibu mula hamil, dia sudah merasakan akan kedatangan adik yang bakal menjadi teman sehariannya. Pengalaman hamil kali kedua, bonda sudah merasakan kesibukan si kakak. Setiap pagi bertanya,

" Bonda bila adik datang? "
" Bila dah ada adik, Lor jadi kakak? "
" Ya kak kong kan ? Hore Lor jadi kak long, Lor ada adik? "
" Nak adik lelaki ke, perempuan? "
" Lor nak adik perempuan, boleh ajak main masak-masak"
" Nak jadi tukang masak ke?"
" Nak jadi cikgu? "

Benar sejak kelahiran adik, kak long selalu menjaga adiknya. Setelah adik dimandikan nenek, kak long ini membantu menjaga adik, ' Lor halau nyamuk , nyamuk jangan gigit adik"

Adikpun gembira diagah kak long, senyum, ketawa atau menangis terlolong
bila kak long sibuk tepuk adik hingga kuat, lupa adik nmasih kecil....

Adik mula tumbuh cantik. kak long tolong suap botol susu.
Selepas ada adik, baru kak long suka makan, kongsi dengan
adik makan bersama....adik terus ternganga, selalu lapar,
hingga mula tertarik berjalan hingga mula belajar bertutur,
selalu berita tahu kak long,

Ila lapaaaaaaa.....
nak matan , nak inum....

Kak long mula marah dengar suara adik

- Cakap betul- betul, jangan pelat..dengar kak long ajar,
Wira....wirrrra bukan ILA
makan...makkkaaan bukan MATAN
minum bukan ...INUM

Memang si adik ini lambat bertutur dengan baik.
Hingga berusia lima tahun masih menyebut namanya ILA ....

-ILa? macam nama budak perempuan heeee...
-Butan, ILA , ILA ILA tak sama dengan kak long

Si kecil Wira menunjuk bagian bawa seluarnya untuk membuktikan
dia punya sesuatu yang tidik sama dengan kakaknya.

Si adik menangis hingga tertidur. Si kak long terus bernyanyi, ....

Wira, wira adik lelaki kak long....

09012010

Tuesday, August 18, 2009

RUMAH DI HUJUNG BATEE 2009......

Doa buat arwah tsunami dan zikir akhir sebelum meninggalkan
                                                                                 kampung kasih sayangTeuku Maksum bersama keluarga - Ketua Mukim Kacamatan Masjid Raya,Aceh Besar 4 tahun lalu sebagai Kechiek Gampong Baro

Mathala , " KENAPA bonda datang lewat, setelah enam bulan tsunami
saya dinikahkan dengan Azahari , dia nelayan...saya kepingin sekolah,
tapi cita-cita itu sudah bubar, sekarang saya hamil bonda"
(dialog tahun 2006).


Kampung Baru, Hujungbatee
KM 17 Jalan Laksmana Malahayati
Kacamatan Masjid Raya, Aceh Besar
******

2005 - Akhirnya setelah mengetahui Gampong Baro hilang dalam gelombang tsunami , harapan ku tipis untuk menemui puteri angkatku , Mardhiah dan 13 adik beradiknya. Berulang kali saya menemui orang-orang kampung di Lamnga, tidak ada yang tahu, kalau ada sisanya dimana mereka berlindung...tidak ada yang tahu...atau Tuhan belum mengizin saya menemu sisa-sia keluarga....hinggalah setahun kemudian, saya dengan PAPTI setelah berhasilkan mendapatkan dana membeli komputer untuk mahasiswa di Lingke. Datang lagi....dan tanpa bosan cuba meredah semula ke sisa-sisa kampung yang telah hapus itu....

" Ooh orang Gampong Baro yang tersisa menumpang di rumah gudang, arah ke Hujungbatee...sana bu, silakan ke sana mungkin anak angkat ibu masih ada di sana..."

2006 - " Kenapa bonda datang lambat" . Marthala menangis terisak. Anak perempuan kecil ini menangis lagi, " Saya masih ingin sekolah, tapi seluruh keluarga lenyap, tinggal saya dengan Rahmah, sekarang Rahmah di bawa Makcik ke Saree..."

Sisa keluarga dan warga Gampong Baru yang selamat, telah ditempatkan di sebuah gudang, berdinding papan dan beratap zink. Saya baru menemui mereka setelah dua tahun tsunami. Pertemuan kembali yang penuh sebak, sedih, rayuan untuk dipeduikan. Tapi siapa saya, datang hanya kerana rasa kesedihan mencari anak angkat yang tidak sempat menunai janjin. Kalau berhasil membawa Mardhiah pulang untuk di sekolah kan di tanah Melayu...pasti aku tidak kehilangan anak comel yang pintar dengan hobinya membaca buku ..

2009 - Kini mereka sudah berkumpul dan rumah mereka didirikan oleh NgO THD German. Rumah comel di atas perbukitan batu yang berangin setiap hari. Tanah asal milik Teungku Zainol dibeli oleh Norling Amerika khusus untuk membangun ekonomi penduduk. Tanah 2 hektar ini menampung 57 kka dengan jumlah 189 orang penduduk .Walau panas dan berdebu, rasanya angin yang meniup dari arah pantai dan laut yang berhadapan dengan Laut Selat Melaka itu menyegarkan. Marthala sudah mempunyai cahaya mata berusia 3 tahun, berbadan gempal, kulih hitam kerana panahan cahaya matahari yang menyegarkan. Ia tumbuh berdaging pejal yang hidup bebas tanpa tahu betapa 6 tahu lalu ibunya bergumul menyelamatkan diri dari amuk tsunami. Rumah yang comel dengan dua bilik , ruang tamu tanpa sekatan ruang dapur. Warna cat dinding sudah luntur dan mereka belum mampu mengecat dengan warna baru.

Berbeza dengan penempatan yang diusahakan oleh Tzu Shi di kota, lengkap dengan pagar tanaman, malah warga digalakkan menghias dengan tanaman pohon berbuah serta bunga-bunga membuatkan keluarga di situ lebih damai an terawat. Rata-ratanya penempatan baru untuk mangsa tsunami tidak terawat. Malah banyak rumah ditinggal sepi tidak berpenghuni.....tapi jelas Marthala, " Saya tidak kebagian rumah - dana tidak cukup...mujur suami sudah ada rumah...." Rupanya Marthala masih mengharapkan rumah bantuan untuk adiknya Rahmah.


Tapi Marthala bagai bahagia dengan suaminya Azahari , seorang nelayan muda dan sekarang memilih menjual ikan., di beberapa rumah penempatan lain termasuk hingga ke penempatan rumah Jecky Chan yang telah menyumbang berjuta-juta dollar, tapi tetap kecewa, rumah wujud tanpa mengikuti rencana asal...wang bantuan kerap hilang di jalan.. Namun penduduk tetap bersyukur seperti ungkap Teuku Maksum Othman , Ketua Mukim, " Syukurlah penempatan kami juga disediakan muenasah yang kami anggap sebagai masjid, sebuah kantor desa dan Polindes (Pusat Kesihatan Desa) serta gedung PKK ( kumpulan ibu-ibu) juga kantor (pejabat) ketua kampung Pak Keuchiek).

Aku pulang sendiri - Has sibuk dengan dunia NgO di kota. Pondok Bunga Bulan Kami juga sudah lenyap di telan tsunami.

Kutinggalkan rumah kecil di perbukitan batu setelah doa selamat dan zikir indah selesai di muenasah comel. Malam makin dingin, geser daunan pisang , ranting kekuda yang baru bercambah makin menyatu dengan kilauan bintang bertaburan di langit malam.

18 Ogos 2008

Monday, July 28, 2008

Dari Jalan Temenggung ke Jalan Bayam

Jalan ini sudah kususuri dengan langkah cepat sejak mencari Kak Jah (allayarhamah Seniman Negara) untuk data seni hias Melayu (1975). Senyuman dan jelingan manjanya masih melompat-lompat di pandangan. Kota Bharu tetap seperti selalu, mewah dengan pancawarna sejak menyusuri pasar Khatijah atau bazar batiknya. Di pasar Khatijah ku cari sarung batik lama. Tetapi para penjual menyuguh batik sutera, jualan sepasang empat meter harga ratusan ringgit. Tentu tidak memancing seleraku, kerana aku mencari batik kain kapas, sarung batik empat lapis, bukan yang serabut dengan warna dasar yang meloncat-loncat kilau warnanya. Tetapi ingatan lebih resah, aku harus segera ke Jalan Bayam. Mana Yati, Mala sejak berbulan hpnya tidak sudi menyambut tanya. Hinggal tiba di Jalan Temenggung (di Hotel lama Temenggung, Mala sudi memberi tahu hp Shikin). Awan sudah menguak, mentari bersinar cantik. Kami tiba di Jalan Bayam rumah no 48000. Tetapi rumah lama SN , bumbung limas, dinding cat putih sudah dilupus, berganti banglo mewah, berpagar warna emas. Wakaf bunga juga bertiang batu, di situ Shikin dan suaminya Emer menyambut kami. Kami sudah meredah ke kawasan makam di hujung jalan Bayam, Ya lapan tahun lalu, menjelang jam 11 malam, jenazahnya disemadikan di situ. Kini aku datang lagi hanya berbekal doa Al Fatiha, terkedu di sisi pusara yang sudah berselaput lumut, nama yang dilakar di bahagian kepala hanya mencatat nama, dan tarikh berangkat. Tanpa sebarang tanda pengenalan. Shikin juga tersuak-suak menarik lalang mencari tapak pusara ibu yang sudah ditumbuhi pohon mengkudu.

Ya dia Seniman Negara yang pernah memberi bakti mengembang ilmu seni warisan Makyung - walau ramai masyarkat Kelantan tidak menyenangi apalagi menghargai peranannya - bagaimana pula dengan para temannya penyelidik yang banyak mendapat ilmu budaya atau para pelajarnya yang kini sudah mencipta nama di panggung Makyung? Bagaimana pandanganmu wahai sahabatku: Kemala, Sutung, Dinsman, Rahimidin, Lim Swee Tin, yang pernah berdamping atau turut menggarab puisi dengan latar sumbangan Allahyarhamah. Mentari makin menyengat, harum pohon bunga cina semerbak dibawa angin. Pohon bunga cina yang merunduk subur di pusara suaminya Zakaria berjajar dipisahkan dengan lima pusara keluarga lain. Ya manusia datang dan dipanggil pulang hanya kerana Kebesaran Yang Maha Berkuasa! Sekali lagi aku menyusur pulang berpaling lagi melihat jalur sepi hanya, Desir lalang dihembus angin petang, lebih tahu Rahsia Sang Pencipta. Amin Ya Rabb.

(setelah kembali dari pusaramu, 24 Julai 2008)

Wednesday, May 28, 2008

batu

Sahabat saya yang satu ini memang selalu menggegarkan ide lucunya. Wajahnya serius kalau tidak berbicara, bagai jauh merenung awan. Maklumlah dia memang tergolong manusia pintar mematah bicara lawan. Apa lagi kerjanya memang turun naik mahkamah. Membongkar rahsia lawan bicara, memastikan orang yang disokongnya menang, benang.Semua isu semasa disampaikan bagai cerita dongeng Pak Andeh, dengan Mak Andeh. Tetapi di kalangan pelukis, wahai, dia adalah kolektor yang dirindu, dia membeli dan mengumpul karya pelukis tanah air, apa yang baru...bukankah selepas 10 tahun harga karya itu terus naik, terus naik. Tapi pagi ini yang diceritanya ialah isu batu...mari kita kongsi cerita Pak Andeh bijak kita,husss, SMSnya pagi ini mencatankan isu batu: " Jangan bersedih atau berputih mata...kita hanya hilang BATU PUTIH, kita ada banyak batu lagi batu- BATU PAHAT, BATU GAJAH, BATU BURUK, Batu 3 Shah Alam,Batu 6 Gombak, Batu 9 Cheras, batu kikir dll. Malahan rizab batu kita masih banyak, seperti batu blok,batu bata, batu nesan, batu ladung, batu sempadan & batu belah batu bertangkup. Selain itu ramai yang ada batu api, batu karang, kepala batu, & hati batu...TAK KAN TAK BOLEH JAGA BATU MASING2!"

Wah, kalau sungguh banyak batu yang kita miliki...kenapa sibuk-sibuk berperang di medan antarabangsa hanya kerana seketul batu itu. Tapi ini soal maruah bong, inilah akibatnya kerana melalaikan sejarah dan titik warisan bangsa. Tambah seorang sahabat saya yang sudah kaya raya dengan jualan seni kayu, " Batu Putihku sudah menjadi berputih mata, pulau pisang dah pun menjadi pisang berbuah dua kali". Cuma adinda anakanda saja yang akan meneruskan dan merenung bidalan nenek moyang, atau lemparkan saja ke laut, ke awan, kerana kita kerap kehilangan batu tanda, atas alasan pembangunan meraih harta.

Monday, May 26, 2008

Sahabat mudaku

Sahabat mudaku yang satu ini agak lucu juga. Oleh kerana sibuk dengan kerja hingga tidak ada hari untuk bersama sahabat karibnya @ si buah hati. Kalau dia lapang, si dia pula sibuk kerja di luar selalu. Aku pula yang sibuk tertanya " Hei tak keluar malam minggu ke? " atau " La, nonton teater sendirian ,dia tak ikut ke". Tapi anehnya, mungkin demi kasih sayang, atau memang dia perlukan kasih sayang itu, maka bermanjalah dengan si Bucuk dan si Tam-tam anak kucing yang nakal tapi manja di rumah kami. Lebih sibuk lagi, kalau si Bucuk deman selsema, atau Tam-tam tak mahu makan, dibawanya ke klinik haiwan. Wah di sinilah rupanya ramai para pengasih penyayang kepada kucing kepada anjing, arnab, atau monyet bertemu dan berkumpul. masing-masing membawa haiwan kesayangan berjumpa doktor yang dengan senyum ramah membelai haiwan itu. Di sini mereka bercakap, mereka bernyanyi malah ada yang menangis kerana kucing kesayangan terangguk sakit, menggigil. Doktor haiwan pun memberi suntikan, memberi pil, dengan pesanan, " Kalau tak simbuh, datang lagi". Inilah rumah kasih sayang menjalinkan kasih antara manusia dan haiwan peliharaannya. Sahabat muda ku ini, tidak mengeluh walau mereka sukar untuk bertemu. Kasih sayang mereka dijalinkan melalu HP saja. Sungguhkah. Aku menunggu mereka bertemu untuk menjalin kasih sayang abadi!

Monday, May 19, 2008

PETANG ITU

Hati ini memang tersentuh, tersayat oleh keanehan hidup hari ini. Boleh kau bayangkan, kalau dikau adalah seorang ibu, sedang minum petang sendirian di ruang Rahasia Resepi ini. Orang sekitar asyik dengan gaya hidup masing-masing. Nah mari berkongsi dengan penglihatan sambil menunggu pesanan minum, coklat keramil dengan carrot butter cake. Siapa di depanmu? Sepasang sahabat dua orang gadis muda tiba-tiba saja menarik kerusi dan duduk bertentangan di depanku. Mereka biasa saja, seorang berkaca mata, memakai kemeja berjalur merah jambu. Lengan digulung hingga ke paras siku. Rambut separas bahu, lurus dan berbelah di sisi kiri. Seorang lagi berblouse kelabu berleher potong v runcing mengarah ke belahan si jantung hati. Rambut agak ikal. Saya melihat seadanya saja, merasakan mereka adik kakak atau kawan se kuliah. Sebentar kemudian pesan kek sudah tiba di meja mereka. Wah, baik sekali persahabatan mereka. Sibaju kelabu menyuap kek tersebut ke bibir si baju merah jambu. Ah masih biasa. Itu tandanya mereka saling berbaik hati. Oooo kemudian, mereka berbalas suapan. Wah lumayan juga menonton kasih sahabat. Eeeeh, si mera jambu mula membelai rambut si baju kelabu. Wah hatiku berdetap. Baru selintas melihat gaya si baju kemeja merah jambu, memang agak selamba, sedang sang aku, berpotret seorang ibu, merasa resah terkilan...wah inikah pasangan muda mudi kita berkasih sayang dengan teman sejenis. Wahai apakah erti kasih sayang itu. Aku tergeletar sendiri memikirkan apakah makna kasih sayang? Kasih di tinggal sepi, atau sayang yang hilang dari lingkungan keluarga adik kakak abang? Teori mana harus ku pelajari, hingga teringatkan seorang sahabat lelaki muda kami juga menolak bercinta dengan pasangan berlainan jenis. Inikah kisah pengikut Nabi Lut yang akhirnya ditolak bumi, dilaknat dengan bencana amukan gelombang besar. Kasih seorang ibu, berdegap degup kini membujuk hati, sabar, sabar, demikian sudah ditakdirkan kehidupan dunia yang semakin calar balar. Namun sudah menolak nama ciptaan ayah ibu. Timah pun menjadi Tom, Rubiah berganti Robb. Dan menariknya pasangan wanitanya tetap berbangga, mengepit Tom atau Robb atau sebaliknya Mamad menjadi Mimi, Tajul menjadi Teja. Minggu depan aku akan mencari sarjana psikologi di UUM, tolong beri jawaban, bagaimana harus membina kasih sayang dengan cara normal Ciptaan Tuhan. Lebih sebulan lalu aku tersedak dengan gelagat bersuara , Prof J terbahak geram ''' Hus cantiknya bidadari tu" - tiba-tiba dia ingin berkenalan dan langsung tersedak bila yang disapa menjawab dengan suara yang menggelegak parau!- Nauzubiilah menggelegak ucapannya .