Monday, June 28, 2010

Rumah Sementara Dalam Kembara Budaya


UNDANGAN dari Balai Bahasa Palembang (BBP) tiba (masuk) hanya lewat FB. Aku bersetuju kerana akhir bulan Mei acara pelancaran PADAT Selangor sudah selesai. Catat kepala BBP lagi, " kami cuma menyediakan penginapan, makan dan sedikit acara perjalanan selama di Palembang. "
Aku setuju kerana telah lama tidak singgah ke kota Seriwijaya ini. Ada ingatan jauh perjalanan pada tahun 1988 kembali menghimbau. Kerja mengutip data untuk kajian Ph.D memang kerap dalam ingatan. Kerjasama Kepala Muzium Sumatera Selatan, kawan-kawan yang membawa ke kampung songket, ke Bukit Seguntang, pelayaran ke Sungai Musi...sudah dicatat dalam beberapa buah puisi dan esei kembara.

2 Jun aku sudah masuk ke rumah penginapan sementara Sandjaya, nombor 6103. Segera menata ruang, menyusun buku, kertas kerja, pakaian baju, kasut. Dan tersedak juga entah rumah ke berapa ku masuki sejak lampau .





Lebih 30 tahun lalu, rumah sementara beginilah kerap memberiku tenaga untuk meneruskan kerja. Otak terlayang-layang, masih adakah ibu Ipah yang memberi banyak data tentang songket limar, songket benang jantung. Masih adakah waris kesultaan Palembang yang sahih.






Kugantung selendang di dalam almari. Kususun sandal dan sepatu jalan sepatu kerja , kasut getah...di tepi pintu. Aku harus siap ke bawah , ke ruang seminar, mendaftar, mendapatkan jadual pembentangan kertas kerja...mengepit juga buku nota, buku sketsa.
Di lobi sudah menunggu panitia membawaku ku ruang seminar....melihat wajah yang mungkin kukenali...belum ada yang menyapa, sehingga muncul Dian, " Oooh Selamat datang ya Bu....silakan minum dulu, kudapannya empek-empek Palembang. Ya empek-empek "
Ya empek-empek Palembang sejenis penganan diperbuat dari tepung ikan diuli bentuk dengan berbagai rupa, bulat, leper, gebu dan ditambah pencicahnya air asam manis pedas. Dengan secawan kopi, rinduku ke Palembang sejak 23 tahun lalu terungkai. Cuma terlayang juga mana kau sahabat yang menemani kerja penyelidikan ke muzium, ke Bukit Seguntang, ke Sungai Musi? Oooh ada yang sudah menjadi ahli politik.
" Untuk menemuinya penuh protokol bu "
Haaaa, aku bukan orang politik ya padamkan nama sahabat itu . Ku pujuk hati dan terkenang pesan dari Kepala BBP,
" Ada sabahat anda pelukis seangkatanmu di ASRI sudah saya beritahu kedatanganmu"
*******
Sanggar Nilam
28 Jun 2010

Friday, May 28, 2010

Kebun belakang rumah

KERAP kita sibuk menata halaman depan rumah. Tanah digembur, baja baru ditambah. Pohon harus cukup siraman....bunga berputik kita amat gembira menunggu kesidang berkembang menyimbah wangi. Dahan mawar bercabangpun kita dapat tahu jumlah helaian daun baru.

Minggu ini saya beralih selera. Menata ruang belakang untuk dijadikan ruang tambahan menulis. Bersebelahan dapur, dengan cermin kaca dibiar terbuka. Masyaallah helaian daun keladi sbubur menghijau. Pelepahnya dapat membesar dan tinggi menyentuh tembok jendela ...aduh kesian betul kau daun - yang cantik bagai lekuk hati sudah lama tidak kupeduli..... ya kini saya kembali melakar daun dan sulur baru daunan keladi....kau tumbuh segar walau tidak pernah ku siram, kau tetap subur, subur indah sepenuh hati.
Kau amat berjasa hingga dipilih menjadi citra dalam bidalan waris moyang Melayu:

1) Terima kasih daun keladi
2) Menjirus air di daun keladi
3) Tua-tua keladi @ daun keladi dimandikan
4) Diam-diam ubi (keladi)

Banyak lagi yang membuat kami menyanyimu cik keladi !! Dengan aneka jenismu:
talas , keladi bunting, keladi birah, keladi sirah, keladi batik, keladi telur, keladi udang, keladi cantik, keladi harimau, keladi ular, keladi cadi, keladi babi, keladi cina, dan lebih 20 jenis keladi tumbuh di bumi Melayu kami, oh Tanah Melayu @ Malaya
*****
Gombak
28 Mei 2010

Friday, May 21, 2010

Seni Hias Tekstil

Seni tekstil sebahagian daripada bahan keperluan untuk hiasan diri dan persekitaran. Bagaimana pula anda menghias persekitan ruang dalam rumah atau interior? Saya tidak terikat untuk menghias pintu tingkap dengan bahan tebal melapisi kain nipis di jendela. Tentu saja fungsinya sebagai melindung cahaya atau tidak terlihat bayang dalaman. Dengan bahan sederhana, saya lebih melihat fungsi gunaan disamping tekstil warisan - folk art yang sempat dipungut dan disimpan sejak lama. Selendang panjang yang kerap dipakai untuk melilit kepala, leher dan dada, merupakan peralatan harian. Untuk pakaian seminggu, masih boleh dipakai bertukar ganti. Dengan ditempatkan di ruang yang mudah dicapai, di kisi-kisi tangga, nah, sudah menjadi seni hiasan rumah juga bukan ?

Seni tekstil warisan boleh digantung untuk menjadi tabir disamping mudah digunakan terutama untuk kajian etnografi semasa. Boleh ditukar ganti tanpa merosakkannya dengan kesan lipatan. Cuma elakkan dari panahan cahaya terang matahari dari luar jendela. Biasanya kain tenunan dengan pewasrna celupan akan dapat diuji bahan asalnya. kalau cepat luntur dan berubah, ayuh cepat alih dan simpan.
Selamat menghias dengan bahan tekstil warisan di rumah kesangan kita. Insyaallah
******
Gombak
21052010


Sunday, April 25, 2010

Cahaya oh cahaya

1.
Katakan kepada kami
sinar dari barat pagi
atau senja jatuh
baru kau buka jendela?
Demi
cahaya
inilah sumber cinta di jiwa!

2.
Sumber cahaya di akalmu?
hulur selendang kasih sayang
dan iman
di situ
jalur awal kehidupan

3.
Cahaya o cahaya
kelkatupun tahu
dengan sumber nikmat
pesta cahaya
awal kematiannya
setelah
ghairah diri tergadai
gugur oleh goda
cahaya!
pakai cahaya
di tubuh iman
demi cinta
kemanusiaan kita!
*****
anjung kasih bonda
26042010

Wednesday, February 17, 2010

Tulisan Jawi?

Berapa banyakkah syarikat Melayu yang menaikkan motto atau logo bertulisan Melayu-Jawi sebagai jenama pengeluaran masing-masing. Minah sos pun tidak memasukkan tulisan jawi. Konon takut tidak dibeli oleh non-Muslim. Satu kajian menarik yang boleh Rumah Kasih Bonda mulakan. Siapa yang ingin bergabung silakan. Mungkin proposal kajian boleh kita panjangkan ke Pusat Islam atau Yayasan Bukhari?

*****
18022010

Rumah Kasih Bonda

RUMAH lama ini kita baiki lagi. akan kita duduki.
di situ dulu semua karya bertumpuk, lukisan dan fail penulisan.
Hampir 5 tahun, kau ditinggal sepi,
kurendang semula pohon kemboja, pinang merah
berbuahlah dengan meriah

Junjungan kayu sendeng kita tegakkan lagi,
tembok anjung ayuh tolong dirapi kembali!
Herman menyimin tembok
tembok takkan kita simin rapi
cukup lekuk abadi.


*****

(10 Februari mulakan wajahmu di sini)
17022010