Showing posts with label Kajian warisan budaya. Show all posts
Showing posts with label Kajian warisan budaya. Show all posts

Sunday, July 4, 2010

ANIKA TEKSTIL DALAM WILAYAH BUDAYA MELAYU

Kain pelangi India (di langit-langit) dan cindai batik asal Jawa

KAIN Patola (cindai) dan Bandhana (pelangi) India memang digemari oleh pengguna di Alam Melayu Nusantara. Sejak abad ke 7M kain-kain ini di Selat Sri Langka,  di Selat Melaka, merentasi pelabuhan Pidei (sebelum muncul Banda Aceh), Melaka, singgah di beberapa pelabuhan di pantai Timur Sumatera seperti Tanjung Balai, Bangka, tembus keTemasek meneruskan pelayaran ke pulau Segantang Lada , Riau Penyegat.

Di laluan Lautan Hindi, kapal pedagang singgah di Sabang, Meulabuh, ke Air Bangih, dan masuk ke Teluk Bayur, terus mengikuti laluan ke Selat Sunda. Teksil ini kelompokkan sebagai warisan seni Seriwiyaya-Majapahit hingga tersebar di seluruh sisa kerajaan Melayu. Dari laluan sutera pula, segalaa daganan dari jalur pergunungan Parsi, melalui India Utara, merentas pinggiran Himalaya, masuk ke Lembah Kuening, menuruni  ke lembah Mymmar, menyusur masuk ke perbatasan Siam, menurun tiba ke Kerajaan Melayu Pattani. Bahan dagangan tekstil cindai dan pelangi mengalir ke selatan wilayah Melayu.  Hingga  kini masih diusahakan tektil ini dengan nama tempatan iaitu kain Pelangi untuk Bandhana dan kain Cindai untuk Patola, terutama di Kelantan Trengganu-Pahang termasuk Palembang dan Jambi. Cuma kain Pelangi diberi nama berdasarkan teknik menghias warna iaitu kain Jumputan dan kain ikat celup tenunan disebut sebagai kain Limar atau Limas yang bermaksud mewarnakan kain cara mengikat dan mencelup sebelum ditenun. Contohnya kain bhandana- pelangi  dan patola -cindai India...masih digemari hingga ke hari ini.

Tentu saja masyarakat tempatan tidak meniru begitu saja. Di saring  , adapatasi, perubahaan dan mencipta akar budaya sendiri. Ini yang diusahakan oleh penenun di Palembang, Jambi, Kerajaan Melayu Patani yang melebar ke Kelantan hingga ke Pahang. Inilah wilayah tenunan cindai atau kemudian disebut kain tenunan Limas atau Limau..yang menggabungkan teknik sulaman songket celupan benang dasar menjadi jejak latar ikat celup.

Pemerian keindahan tenunan ini pun dapat dikutip daripada teks Melayu Klasik, 
' ...Raja Anggun Che' Tunggal...dikenakan pula baju saf sahklat airnul'banat yang bertatah intan...dikenakan pula kain cindai jantan panjang sepuluh dengan rambu-rambunya diikat kepada pinggangnya...' (Hikayat Anggun Che' Tunggal,Malaya Publishing 1960,105)


Pemerian di atas menampakkan cinta luar seperti dari  baju sahklat ainul banar (Arab-Parsi) dan kain cindai (India Patola)

Soalnya sekarang, mana citra alam Melayu? Ya, ini kalau menilai daris sudut luaran dan fungsi kenyataan. Tetapi kalau kita mengalih kepada fungsi lambang keindahan, pasti di situlah jawabnya, maka  diseliplah  keris Sembilawari, 
              kurai berlapis dengannya pamur
              tuntungnya merah bagai api. ..

Keris inilah lambang Alam Melayu (dalam adat  istiadat lelaki  Nusantara masih bergaya dengan keris), pamur  dan tuntung.  Hingga  cindai dan  pelangi  begitu bermartabat di mata pengguna Alam Melayu. Apakah jenis tekstil yang dihadiahkan oleh Sultan Mansur Shah , Melaka ketika meminang puteri Jawa?  Bayangkan saja pemerian teks Hikayat Hang Tuah ini ( Kassim Ahmad, peny. 1966, 128), 
       ' emas tujuh bahara  dan kain tujuh peti dan perempuan
         dayang-dayang  tujuh puluh baik rupanya dan kain bersuji
         tepi tujuh helai'

Kain tujuh peti?
Pada abad ke 15 M, Melaka tidak dicatat sebagai penghasil tekstil. Sebaliknya Melaka adalah pelabuhan dagang, tempat memunggah hasil alam Melayu, bersilang dengan barang-barang dari India dari arah barat dan barangan China dari arah lautan China.  Hasil rempas asal , kulit kayu manis, bunga cengkih, selasih, dari kepulauan Melayu, kulit penyui, damar dari perairan dan hutan Nusantara dipunggah ke kapal untuk belayar ke timur tengah...benang emas, kain sulam kelengkan, benang sutera baju antelas, tiba di Melaka. di borong oleh pembesar istana menjadi bahan busana diraja. Selain  Istana Melaka  dengan Aceh, Jambi, Palembang, Riau-siak, Brunei sudah lama terjalin. Perkahwinan antar istana sehingga tekstil saling bertukar tangan.

wilayah budaya yang menjadi penyelamat, kembali menggubah menicptan tekstil muncul di Jambi Pelembang dan puncaknya  di wilayah kerjaan Melayu Patani yang tersebar ke Kelantan, Trengganu dan Pahang. Maka Temenggung   Melaka memakai kain panjang punca tergantung, hang Tuah juga diahdikan baju ainulbanat, seluar baldu bersulan suji, hias lemudi. Kain pakan dapat dirujuk sebagai kain tenunan songket (emas pakan) menjadi kebanggaan Kerajaan  Melayu lainnya, terutama di Pahang, Perak dan Selangor.    

Maka di Alam Melayu patola pun berganti nama menjadi kain cindai (corak seakan motif kulit ular cindai). Maka bhandana menjadi kain pelangi sesuai dengan corak hiasan dan lapisan warna pelangi. Lebih arif lagi seniman Alam Melayu juga mula 'melimas' - mewarna benang - untuk disusun pakan dan loseng dan ditenun ke ke menjadi kain  songket limar.  tekstil inilah yang dipakai, dengan gaya dan diperikan dengan indah untuk menggambar pakaian pahlawan Misalnya Tuan Malim Dewapun berhias, 
             '...baju beledu ainul banat, kain kembung kampuh
              pelangi, bukannya kain di bawah angin,  kain kelambu
             Rasulullah. Berikat pinggang kain cindai.
             ..Keris bersarung
             emas sepuluh. Hulunya menikam sembilan warna.
             keris bernama jalak jantan, berkerawang pamur di-
             pangkalnya '.

Di mana semuanya fikiran dan perlambangan  seni busana warisan ? Kerana lelaki Melayu tidak lagi memakai tanjak atau destar ketika bersanding, dan kain songket berganti aneka kilau sutera busana gaun pengantin bertatah batu permata. Ya atas perubahan selera boleh saja busana diubah suai oleh kepintaran pereka fesyen. Tetapi kenapa harus mengambil selera busana klasik Barat atau klasik India dan meninggalkan klasik Melayu  dalam acara penting dan bersejarah ini?   
               

Busana Klasik Melayu: Bajiu Kurung Johor , kain ombak mengalun
dan selendang sulam kelengkan.
Dari benang kapas, sutera dan benang emas dari China dan India
ditenun oleh pandai seni Kelantan :  inilah  songket Melayu-Kelantan.

berselindang sulam benang kelengkan.
hak cipta kajian dan gambar Siti Zainon Ismail.


Gombak, 5 Julai 2010

Friday, May 21, 2010

Seni Hias Tekstil

Seni tekstil sebahagian daripada bahan keperluan untuk hiasan diri dan persekitaran. Bagaimana pula anda menghias persekitan ruang dalam rumah atau interior? Saya tidak terikat untuk menghias pintu tingkap dengan bahan tebal melapisi kain nipis di jendela. Tentu saja fungsinya sebagai melindung cahaya atau tidak terlihat bayang dalaman. Dengan bahan sederhana, saya lebih melihat fungsi gunaan disamping tekstil warisan - folk art yang sempat dipungut dan disimpan sejak lama. Selendang panjang yang kerap dipakai untuk melilit kepala, leher dan dada, merupakan peralatan harian. Untuk pakaian seminggu, masih boleh dipakai bertukar ganti. Dengan ditempatkan di ruang yang mudah dicapai, di kisi-kisi tangga, nah, sudah menjadi seni hiasan rumah juga bukan ?

Seni tekstil warisan boleh digantung untuk menjadi tabir disamping mudah digunakan terutama untuk kajian etnografi semasa. Boleh ditukar ganti tanpa merosakkannya dengan kesan lipatan. Cuma elakkan dari panahan cahaya terang matahari dari luar jendela. Biasanya kain tenunan dengan pewasrna celupan akan dapat diuji bahan asalnya. kalau cepat luntur dan berubah, ayuh cepat alih dan simpan.
Selamat menghias dengan bahan tekstil warisan di rumah kesangan kita. Insyaallah
******
Gombak
21052010


Wednesday, February 17, 2010

Tulisan Jawi?

Berapa banyakkah syarikat Melayu yang menaikkan motto atau logo bertulisan Melayu-Jawi sebagai jenama pengeluaran masing-masing. Minah sos pun tidak memasukkan tulisan jawi. Konon takut tidak dibeli oleh non-Muslim. Satu kajian menarik yang boleh Rumah Kasih Bonda mulakan. Siapa yang ingin bergabung silakan. Mungkin proposal kajian boleh kita panjangkan ke Pusat Islam atau Yayasan Bukhari?

*****
18022010

Saturday, April 25, 2009

PUNCAK KONGRES KAMPUNG KASIH BONDA

Tan Sri Abdul Aziz, mantan Pengerusis MAS Cogan bendera kampung kami

PETA KUALA LUMPUR 2020, masih mengocak perasaan penduduk enam kampung asal di WP (Kg Bandar Dalam, Padang Balang, Chubadak, Sungai Merali, Sungai Mulia dan Kampung Puah) . Anda kerap hilir mudik di kampung ini, tapi tetap saja bertanya , " hei di mana ya kampung itu? " Nah, bahagian Kampung Bandar Dalam, di simpang masuk sudah dibedah oleh Lebuh Raya DUKE - hanya untuk kemudahan laluan dari Hulu Kelang ke Damanasara. Apa anda pediui, kalau anda nak balik ke Kota Bharu, atau ke Pantai Timur, memang menderulah kereta kalian. Sambil santai lena - dalam bas dua tingkat, boleh saja berbisik-bisik, wah cantiknya wajah ibu kota kita...itulah tujuan asal DBKL tahun 2020, semua wajah kota cantik molek, laluan di 6 buah kampung ini akan dimusnahkan hahahah, Mereka lupa, ini tanah Rizab Melayu, tanah ini diteroka oleh para ulamak datang dari Payakombuh, Batusangkar, dari suku batangkapeh, tanjung, dari Siak, dari Jambi, Madailing, Rawo kerana memprotes Belanda yang mengutip cukai kepala. Ini cerita Tuk Janggut seorang Buano - juru tulis Belanda yang datang setelah Perang Padri 1834. Sutan Puasa dari kumpulan ketua Rawa datang membuka lombong bijih, pengikut Raja Abdullah putera Raja Jaafar, kelurga Bugis Melayu yang pertama kali membuka lombong di Lukut. Dengan sokongan Sultan Muhamad Sultan Selangor tiba di Pelabuhan batu (simpang sungai Kelang-Sungai Gomabk = masjid Jamek Sekarang), membuka kedai, ini terjadi sebelum kedatangan ketua geng Yap Ah Loy. Tidak heran, telah beberapa kali Buyong Adil menegur agar fakta ini di perbaiki, yang membuka Kuala Lumpur ialah Raja Abdullah. itu terjadi 150 tahun lalu.
Tahun 2003, DBKL mengganggu dengan perancangan mencanggihkan kota raya. Tapi tahun itu kami datang membela dan rungutan kami diterima, tak jadilah kampung Bandar Dalam di bedah. walaupun Chubadak sudah dirompak sebelah. Inilah kerja di tahun 2008, kami diminta datang lagi untuk berbincang. Kami di minta untuk berbincang ...kenapa sebelum peta perancangan mereka tidak datang berbincang di kampung kami. Kami tidak sanggup menutup sebelah mata, atau lena dengan tawaran projek membina kondo 20 tingkat, membina tiang LRT di depan rumah kami....kami bising, hanya Harakah dan Sinar saja yang sanggup mengwar-war protes kami. Bendera hitam bergantungan di jalan - pertahan Tanah Melayu. Kami pun buat acara protes dengan pameran budaya , baca puisi dan lancar buku Kasih Bonda di surau Tarbiah (9 ogos 2008). Seniman Negara dan Sasterwan Negarapun datang. Ketua Pengarah DBKL datang, beri seekor lembu. Lembu kami sembelih, makan dan baca doa tapi proters tetap protes.
Dan tarikh 9 April lalu, buat pertama kali Pertubuhan MUAFAKAT mengadakan Kongres MEMPERKASA PERKAMPUNGAN TRADISI MELAYU WILAYAH PERSEKUTUAN (Kampung Bharu yang hampir ditelan itupun tak berani buat Kongres hahaha)....Tan Sri Aziz. Prof Bahari (UIA), Chegu Zainal Abidin, saya dan Haji Jajuli (mantan pegawai DBP) pun duduk bersuara....antara resolusi yang kami lontarkan untuk perhatian DBKL ialah:
1) Memutuskan supaya pihak berkuasa tempatan mengistiharkan kampung-kampung tradisi sebagai kampung warisan
2) Bersetuju membentuk AJK penduduk yang akan dipertanggung jawabkan memelihara nilai tradisi Melayu selaras dengan pembangunan sejagat yang bersesuai dengan budaya Melayu yang berteraskan Islam (Semangan Kebudayaan Kebangsaan, 1972)
3) Bersetuju membentuk JK pembinaan modal Islam yang bertanggung jawab membina serta melahirkan individu yang mempunyai keyakinan diri , tidak mudah kecewa atau berputus asa
4) Menuntut supaya diadakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dimansuhakan pada tahun 1965.
Resolusi ini telah dihantar ke DBKL. kami menunggu juga tindakan Dato' Bandar - atau apakah kita perlu mengadap YM Raja Nong Chik. kerja kami belum selesai . Akan mengadap mengadap DYM Sultan Selangor pada 21 Mei , semoga mendapat sambutan positif daripada baginda. Bukankah kampung kami nini dulu adalah di bawah kuasa Sultan?




Monday, July 7, 2008

Cahaya dan kebersihan cat air

Selasa, 8 Julai 2008

Pertama adalah pandangan mata. Kedua kau akan diasak ketakjuban dengan kejadian ciptaan Sang Kuasa. Hujan luruh, matahari bersinar, malampun disinari cahaya bulan. Di mana kau pelukis meneropong, sebelum 'meniru'kebesaran Sang Kuasa untuk di'salin'ke atas kertas atau kanvas. Bermula dengan pendeta Cina dan Jepun, meniru adalah kesaksian untuk lebih mencintai, mengasihi. Kata Li Po, 'berjalanlah, tataplah langit, sentuhi bumi di kakimu, dan sanubari wadah mengadun gelora - berdoalah- melukislah'. Tapi aku diasak dentingan getar nilon rebab, bertali lagu si pauh janggi memanggil-manggil, lihatlah ke sukmamu, tataplah merah jingga dari kolam sukma mu, atau ungu lembut muncul dari celah ranting angsana menjulur di jendela rumahmu di pinggir anak Sungai Kancing itu. Apalagi ketika renjisan hujan berderaian mengusik daunan dan bungaan itu. Tumbuhlah kaligrafi amat bersih.

Demikianlah yang kukutip dua hari lalu, ucapan Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal, "Inilah warna cahaya, bersih, dengan kemilau yang selalu mengiringi lukisan cat air'. Tambah beliau lagi 'sejak dulu hingga sekarang, saya sendiri harus melukis dengan berus yang bersih, warna yang bersih, tipis, melayang, cerah dan kemilau'. Kebersihan itu datang dari lubuh jiwa! Bukankah ini juga yang diucapkan oleh Saadi tentang bunga mawar, atau Rindu Tagore kepada kilauan bulan purnama, dan aku pula terlempar jauh ke kebun tamar, yang mencelah di longgokan gunung batu nun jauh di halaman Kekasih Allah. Atas kebenaran dan kebesaran-Mu, cahaya itu juga memencar-mencar , bersih berkilauan tepat suara Azan melantun dari kubah hijau masjid Nabi di Madinah. Bukankah inilah lukisan cat air dan aneka bahan pewarna yang harus bersih dan berkilauan itu!