Jalan ini sudah kususuri dengan langkah cepat sejak mencari Kak Jah (allayarhamah Seniman Negara) untuk data seni hias Melayu (1975). Senyuman dan jelingan manjanya masih melompat-lompat di pandangan. Kota Bharu tetap seperti selalu, mewah dengan pancawarna sejak menyusuri pasar Khatijah atau bazar batiknya. Di pasar Khatijah ku cari sarung batik lama. Tetapi para penjual menyuguh batik sutera, jualan sepasang empat meter harga ratusan ringgit. Tentu tidak memancing seleraku, kerana aku mencari batik kain kapas, sarung batik empat lapis, bukan yang serabut dengan warna dasar yang meloncat-loncat kilau warnanya. Tetapi ingatan lebih resah, aku harus segera ke Jalan Bayam. Mana Yati, Mala sejak berbulan hpnya tidak sudi menyambut tanya. Hinggal tiba di Jalan Temenggung (di Hotel lama Temenggung, Mala sudi memberi tahu hp Shikin). Awan sudah menguak, mentari bersinar cantik. Kami tiba di Jalan Bayam rumah no 48000. Tetapi rumah lama SN , bumbung limas, dinding cat putih sudah dilupus, berganti banglo mewah, berpagar warna emas. Wakaf bunga juga bertiang batu, di situ Shikin dan suaminya Emer menyambut kami. Kami sudah meredah ke kawasan makam di hujung jalan Bayam, Ya lapan tahun lalu, menjelang jam 11 malam, jenazahnya disemadikan di situ. Kini aku datang lagi hanya berbekal doa Al Fatiha, terkedu di sisi pusara yang sudah berselaput lumut, nama yang dilakar di bahagian kepala hanya mencatat nama, dan tarikh berangkat. Tanpa sebarang tanda pengenalan. Shikin juga tersuak-suak menarik lalang mencari tapak pusara ibu yang sudah ditumbuhi pohon mengkudu.
Ya dia Seniman Negara yang pernah memberi bakti mengembang ilmu seni warisan Makyung - walau ramai masyarkat Kelantan tidak menyenangi apalagi menghargai peranannya - bagaimana pula dengan para temannya penyelidik yang banyak mendapat ilmu budaya atau para pelajarnya yang kini sudah mencipta nama di panggung Makyung? Bagaimana pandanganmu wahai sahabatku: Kemala, Sutung, Dinsman, Rahimidin, Lim Swee Tin, yang pernah berdamping atau turut menggarab puisi dengan latar sumbangan Allahyarhamah. Mentari makin menyengat, harum pohon bunga cina semerbak dibawa angin. Pohon bunga cina yang merunduk subur di pusara suaminya Zakaria berjajar dipisahkan dengan lima pusara keluarga lain. Ya manusia datang dan dipanggil pulang hanya kerana Kebesaran Yang Maha Berkuasa! Sekali lagi aku menyusur pulang berpaling lagi melihat jalur sepi hanya, Desir lalang dihembus angin petang, lebih tahu Rahsia Sang Pencipta. Amin Ya Rabb.
(setelah kembali dari pusaramu, 24 Julai 2008)
(setelah kembali dari pusaramu, 24 Julai 2008)