Wednesday, May 28, 2008

batu

Sahabat saya yang satu ini memang selalu menggegarkan ide lucunya. Wajahnya serius kalau tidak berbicara, bagai jauh merenung awan. Maklumlah dia memang tergolong manusia pintar mematah bicara lawan. Apa lagi kerjanya memang turun naik mahkamah. Membongkar rahsia lawan bicara, memastikan orang yang disokongnya menang, benang.Semua isu semasa disampaikan bagai cerita dongeng Pak Andeh, dengan Mak Andeh. Tetapi di kalangan pelukis, wahai, dia adalah kolektor yang dirindu, dia membeli dan mengumpul karya pelukis tanah air, apa yang baru...bukankah selepas 10 tahun harga karya itu terus naik, terus naik. Tapi pagi ini yang diceritanya ialah isu batu...mari kita kongsi cerita Pak Andeh bijak kita,husss, SMSnya pagi ini mencatankan isu batu: " Jangan bersedih atau berputih mata...kita hanya hilang BATU PUTIH, kita ada banyak batu lagi batu- BATU PAHAT, BATU GAJAH, BATU BURUK, Batu 3 Shah Alam,Batu 6 Gombak, Batu 9 Cheras, batu kikir dll. Malahan rizab batu kita masih banyak, seperti batu blok,batu bata, batu nesan, batu ladung, batu sempadan & batu belah batu bertangkup. Selain itu ramai yang ada batu api, batu karang, kepala batu, & hati batu...TAK KAN TAK BOLEH JAGA BATU MASING2!"

Wah, kalau sungguh banyak batu yang kita miliki...kenapa sibuk-sibuk berperang di medan antarabangsa hanya kerana seketul batu itu. Tapi ini soal maruah bong, inilah akibatnya kerana melalaikan sejarah dan titik warisan bangsa. Tambah seorang sahabat saya yang sudah kaya raya dengan jualan seni kayu, " Batu Putihku sudah menjadi berputih mata, pulau pisang dah pun menjadi pisang berbuah dua kali". Cuma adinda anakanda saja yang akan meneruskan dan merenung bidalan nenek moyang, atau lemparkan saja ke laut, ke awan, kerana kita kerap kehilangan batu tanda, atas alasan pembangunan meraih harta.

Monday, May 26, 2008

Sahabat mudaku

Sahabat mudaku yang satu ini agak lucu juga. Oleh kerana sibuk dengan kerja hingga tidak ada hari untuk bersama sahabat karibnya @ si buah hati. Kalau dia lapang, si dia pula sibuk kerja di luar selalu. Aku pula yang sibuk tertanya " Hei tak keluar malam minggu ke? " atau " La, nonton teater sendirian ,dia tak ikut ke". Tapi anehnya, mungkin demi kasih sayang, atau memang dia perlukan kasih sayang itu, maka bermanjalah dengan si Bucuk dan si Tam-tam anak kucing yang nakal tapi manja di rumah kami. Lebih sibuk lagi, kalau si Bucuk deman selsema, atau Tam-tam tak mahu makan, dibawanya ke klinik haiwan. Wah di sinilah rupanya ramai para pengasih penyayang kepada kucing kepada anjing, arnab, atau monyet bertemu dan berkumpul. masing-masing membawa haiwan kesayangan berjumpa doktor yang dengan senyum ramah membelai haiwan itu. Di sini mereka bercakap, mereka bernyanyi malah ada yang menangis kerana kucing kesayangan terangguk sakit, menggigil. Doktor haiwan pun memberi suntikan, memberi pil, dengan pesanan, " Kalau tak simbuh, datang lagi". Inilah rumah kasih sayang menjalinkan kasih antara manusia dan haiwan peliharaannya. Sahabat muda ku ini, tidak mengeluh walau mereka sukar untuk bertemu. Kasih sayang mereka dijalinkan melalu HP saja. Sungguhkah. Aku menunggu mereka bertemu untuk menjalin kasih sayang abadi!

Monday, May 19, 2008

PETANG ITU

Hati ini memang tersentuh, tersayat oleh keanehan hidup hari ini. Boleh kau bayangkan, kalau dikau adalah seorang ibu, sedang minum petang sendirian di ruang Rahasia Resepi ini. Orang sekitar asyik dengan gaya hidup masing-masing. Nah mari berkongsi dengan penglihatan sambil menunggu pesanan minum, coklat keramil dengan carrot butter cake. Siapa di depanmu? Sepasang sahabat dua orang gadis muda tiba-tiba saja menarik kerusi dan duduk bertentangan di depanku. Mereka biasa saja, seorang berkaca mata, memakai kemeja berjalur merah jambu. Lengan digulung hingga ke paras siku. Rambut separas bahu, lurus dan berbelah di sisi kiri. Seorang lagi berblouse kelabu berleher potong v runcing mengarah ke belahan si jantung hati. Rambut agak ikal. Saya melihat seadanya saja, merasakan mereka adik kakak atau kawan se kuliah. Sebentar kemudian pesan kek sudah tiba di meja mereka. Wah, baik sekali persahabatan mereka. Sibaju kelabu menyuap kek tersebut ke bibir si baju merah jambu. Ah masih biasa. Itu tandanya mereka saling berbaik hati. Oooo kemudian, mereka berbalas suapan. Wah lumayan juga menonton kasih sahabat. Eeeeh, si mera jambu mula membelai rambut si baju kelabu. Wah hatiku berdetap. Baru selintas melihat gaya si baju kemeja merah jambu, memang agak selamba, sedang sang aku, berpotret seorang ibu, merasa resah terkilan...wah inikah pasangan muda mudi kita berkasih sayang dengan teman sejenis. Wahai apakah erti kasih sayang itu. Aku tergeletar sendiri memikirkan apakah makna kasih sayang? Kasih di tinggal sepi, atau sayang yang hilang dari lingkungan keluarga adik kakak abang? Teori mana harus ku pelajari, hingga teringatkan seorang sahabat lelaki muda kami juga menolak bercinta dengan pasangan berlainan jenis. Inikah kisah pengikut Nabi Lut yang akhirnya ditolak bumi, dilaknat dengan bencana amukan gelombang besar. Kasih seorang ibu, berdegap degup kini membujuk hati, sabar, sabar, demikian sudah ditakdirkan kehidupan dunia yang semakin calar balar. Namun sudah menolak nama ciptaan ayah ibu. Timah pun menjadi Tom, Rubiah berganti Robb. Dan menariknya pasangan wanitanya tetap berbangga, mengepit Tom atau Robb atau sebaliknya Mamad menjadi Mimi, Tajul menjadi Teja. Minggu depan aku akan mencari sarjana psikologi di UUM, tolong beri jawaban, bagaimana harus membina kasih sayang dengan cara normal Ciptaan Tuhan. Lebih sebulan lalu aku tersedak dengan gelagat bersuara , Prof J terbahak geram ''' Hus cantiknya bidadari tu" - tiba-tiba dia ingin berkenalan dan langsung tersedak bila yang disapa menjawab dengan suara yang menggelegak parau!- Nauzubiilah menggelegak ucapannya .